Sunday, 13 June 2021

Hadis Nabawi SVM 1

  


Matan Hadis Nabawi


Hadis 7 Golongan Yang Mendapat Naungan Allah


Mafhum Hadis

Daripada Abu Hurairah RA berkata, daripada Rasulullah SAW bersabda: Tujuh golongan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; Pemimpin yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang berkedudukan dan cantik untuk melakukan maksiat dengannya lalu ia menolak dengan berkata: Aku takut kepada Allah!, orang yang bersedekah secara rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan bersendirian, lalu menitis air matanya.  

 (Riwayat Bukhari)


Huraian Hadis

Golongan Pertama :

Pemimpin yang adil

Pemimpin yang dapat menjalankan tanggungjawab mengikut syariat Islam.

  1. Pemimpin yang adil merujuk kepada ketua atau pengurus yang diberi amanah menerajui sesuatu organisasi dengan adil dan bertanggungjawab.
  2. Begitu juga dengan diri kita yang menjadi ketua kepada anggota sendiri yang perlu dijaga daripada terlibat denagn maksiat.
  3. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya atau haknya.
  4. Contoh: pengawas sekolah, seorang ketua kelas, bendahari kelas dan sebagainya perlu adil dan amanah dalam menjalankan tugas. Manakala diri kita pula perlu memastikan mata, tangan, kaki, hati dan anggota lain sentiasa melaksanakan perintah dan menghindarkan larangan Allah SWT.


Golongan Kedua 

Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah SWT

Pemuda yang rajin beribadah pada setiap masa.

  1. Pemuda yang sentiasa beribadah merujuk kepada pemuda yang sentiasa melaksanakan amalan kerana Allah SWT sama ada ibadah khusus atau umum.
  2. Contoh ibadah khusus : solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain.
  3. Contoh ibadah umum : berniaga, bekerja dan lain-lain.
  4. Sesuatu amalan harian juga boleh menjadi ibadah sekiranya kita meletakkan niat kerana Allah dan dilakukan mengikut syariat yang ditetapkan, seperti contoh, beriadah untuk kesihatan dengan pakaian yang menutup aurat.


Golongan Ketiga

Lelaki yang hatinya sentiasa tergantung (terpaut) dengan masjid

Seseorang yang suka, seronok dan rindu untuk ke masjid atau surau.

  1. Lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid merujuk kepada seseorang yang sentiasa mengimarahkan masjid dengan amalan-amalan seperti solat berjamaah, menghadiri kuliah agama, menjaga kebersihan kawasan masjid dan lain-lain.



Golongan Keempat

Dua lelaki orang yang saling kasih mengasihi , bertemu dan berpisah hanya kerana Allah SWT

Mereka berkasih sayang berlandaskan adab-adab Islam, ikhlas kerana Allah dan mengelakkan diri terjerumus ke arah maksiat.

  1. Dua orang yang saling kasih mengasihi, bertemu dan berpisah hanya kerana Allah SWT merujuk kepada dua orang sahabat yang saling berkasih sayang dan bersahabat ikhlas hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana kedudukan, warna kulit dan tujuan yang lain.
  2. Kasih sayang ini juga bukan atas desakan nafsu dan amarah syahwat yang boleh menjerumus diri kita ke lembah maksiat.
  3. Kita juga perlu menjaga adab-adab pergaulan dan bersahabat dalam menjalinkan silaturrahmi ini.
  4. Contoh adab pergaulan : sentiasa menjaga rahsia rakan, bersopan santun mengeluarkan kata-kata dan lain-lain.


Golongan Kelima

Seseorang lelaki yang menolak ajakan wanita untuk melakukan maksiat

Seseorang yang diajak oleh seseorang untuk melakukan maksiat seperti zina, tetapi ditolak dengan mengatakan “saya takutkan Allah”.

  1. Seseorang lelaki yang menolak ajakan wanita untuk melakukan maksiat merujuk kepada seseorang individu yang menolak sebarang ajakan ke arah maksiat kerana takut kepada Allah SWT dan menyedari akan azab yang bakal diterima di akhirat kelak.
  2. Kita perlu memantapkan keimanan agar ia menjadi benteng daripada gejala maksiat dan dosa.

Golongan Keenam

Seseorang yang bersedekah dan tidak menghebahkanya

Harta yang dikeluarkan dengan hati yang benar-benar ikhlas kerana Allah SWT dan tidak menghebahnya seumpama, tangan kiri yang tidak mengetahui apa yang dilakukan tangan kanan.

  1. Seseorang yang bersedekah dan tidak menghebahkanya merujuk kepada seseorang individu yang tidak menghebah-hebah sebarang bentuk pemberian, sedekah atau derma bagi mengelakkan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk.
  2. Oleh itu kita perlu menyembunyikan sebarang bentuk pemberian daripada diketahui umum seperti memanggil wartawan untuk menghebahkan derma dan sebagainya.

Golongan Ketujuh

Seseorang yang mengingati Allah SWT hingga mengalirkan air mata

Seseorang yang mengalirkan air matanya kerana taqwa kepada Allah atau menginsafi perbuatan lalu.

  1. Seseorang yang mengingati Allah SWT hingga mengalirkan air mata merujuk kepada seseorang individu yang merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT sehingga mewujudkan rasa gerun dan mengharap kepadaNya.
  2. Keadaan ini dapat memastikan diri kita sentiasa bertaqarrub dan bergantung kepada Allah SWT dan menghindarkan diri kita daripada melakukan perkara yang ditegah oelh Allah SWT.


Pengajaran hadis.

i.         Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menjadi sebahagian daripada 7 golongan seperti dalam hadis.

ii.        Kita hendaklah berdoa dengan memohon naungan dan perlindungan Allah SWT di padang mahsyar nanti.

iii.      Kita hendaklah mengamalkan segala suruhan dan menjauhkan larangan Allah SWT supaya mendapat perlindungan di dunia dan di akhirat.

# kata kunci jawapan untuk memastikan anda mendapat markah penuh

 

Berusaha untuk mencapai ciri-ciri golongan yang mendapat perlindungan Allah.

i.         Membaca dan mengamalkan zikir-zikir selepas solat. 

ii.        Sentiasa solat berjemaah di masjid. 

iii.      Memilih sahabat yang membawa kepada kearah kebaikan.

iv.      Menghindarkan diri daripada perkara yang boleh membawa kepada perbuatan zina seperti menonton filem lucah dan melayari laman lucah dan menjaga batas pergaulan. 

v.       Melatih diri menjadi pemimpin yang adil amanah dan bertanggungjawab.


Semoga memberi manfaat kepada semua...


Sekiranya anda rasa bermanfaat... niatkan bacaan al-Fatihah untuk saya ye ...


No comments:

Post a Comment

Ibadah Munakahat SVM 2 Sem 3

Munakahat dan hukum-hukum berkaitan   Konsep munakahat dalam Islam.                               i.           Galakan berkahwin. ...